Uncategorized

Night Jungle Walk di Taman Negara

Night Jungle Walk di Taman Negara

Assalamualaikum  dan selamat sejahtera. Apa khabar semua? Hari ini saya akan menulis sebuah artikel. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk menceritakan pengalaman saya sendiri dalam melakukan aktiviti Night Walk Jungle.

Sebelum saya menceritakan pengalaman saya melakukan aktiviti Night Walk Jungle kepada anda semua. Pasti anda semua tertanya-tanya, apakah itu Night Walk Jungle?. Apakah kelebihan sekiranya melakukan aktiviti Night Walk Jungle?

Sebelum dan selepas

Apakah faktor-faktor yang perluk dititikberatkan sebelum dan semasa melakukan aktiviti Night Walk Jungle?. Baiklah saya akan terangkan serba sedikit berkaitan apa itu Night Walk Jungle.

Night Walk Jungle ini boleh dimaksudkan sebagai aktiviti atau kembara berjalan pada waktu malam di dalam hutan. Anda semua dengar aktiviti ini seperti ringkas dan mudah untuk dijalankan atau diharungi tetapi ia amat memerlukan ketabahan dan keberanian yang tinggi untuk melaksanakan aktiviti ini.

Kelebihan aktiviti ini ialah pertama, dapat meningkatkan daya kepekaan terhadap alam sekitar. Selain itu, dapat membantu badan dalam proses mempercepatkan percernaan. Seterusnya, meningkatkan metabolisme badan dan salah satu usaha kepada penurunan badan. Akhir sekali, dapat menikmati keindahan alam sekitar di malam hari.

Baiklah, sekarang saya akan terangkan faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum melakukan aktiviti Night Walk Jungle ialah pertama, faktor dingin malam. Selain itu, faktor keselamatan dari binatang buas. Seterusnya, faktor cahaya suram di malam hari. Tambahan pula, faktor gugup, cuak dan takut.

Setelah anda semua telah tahu apa itu Night Walk Jungle, kelebihan dan faktor-faktor. Sudah sampai masanya saya menceritakan pengalaman saya dalam melakukan aktiviti Night Walk Jungle.

Kem Kepimpinan Pelajar

Pada tahun 2017, ketika saya berumur 16 tahun itulah kali pertama saya melakukan aktiviti Night Walk Jungle. Aktiviti ini telah dianjurkan oleh pihak sekolah ketika diadakan Kem Kepimpinan Pelajar. Sebelum kami berkumpul untuk solat Jemaah dan mendengar sedikit taklimat, cikgu menyuruh kami untuk mengemaskan barang yang ingin dibawa bersama. Kemudian, selesai berkemas ustaz Shubki mengarahkan kami untuk berkumpul di dewan solat untuk menunaikan solat Isyak berjemaah.

Aktiviti ini bermula pada jam 9.30 malam. Kami semua dikumpulkan di dewan dan diberikan beberapa tips, faktor keselamatan, dan peringatan yang perlu dipatuhi ketika melakukan aktiviti tersebut. Antara peringatan yang saya ingat yang diberikan oleh abang fasilitator tersebut ialah jangan membuat bising, berkata besar dan mengusik serta mengambil apa-apa sahaja yang bukan milik kita di dalam hutan ia mungkin milik makhluk lain sekiranya terdapat pelajar yang mengambil apa-apa sahaja, mereka akan disuruh masuk semula ke dalam hutan dan memulangkan barang yang diambil seorang diri.

Sebelum memulakan aktiviti kami membuat bacaan doa mengikut cara agama masing-masing. Bagi yang Islam bacaan doa diketuai oleh ustaz Shubki bagi memohon perlindungan dari Allah agar semuanya akan berjalan dengan lancar. Setelah semua maklumat telah disampaikan kepada pelajar. Pada jam 10 malam aktiviti Night Walk Jungle akhirnya dimulakan.

 

Fasilitator Mahir

Kami semua disuruh oleh abang fasilitator untuk beratur dengan pantas dan tenang dalam kedudukan memanjang bagi memudahkan pergerakan untuk masuk ke dalam hutan tersebut.. Kami mula memasuki ke dalam hutan yang dipandu arah oleh seorang fasilitator yang mahir dalam selok belok hutan tersebut.

Fasilitator itu bernama abang Iwan. Kami memulakan kembara perjalanan dengan memasuki fasa pertama iaitu melihat dan mendengar alunan bunyian haiwan dan serangga-serangga yang terdapat di dalam hutan tersebut. Antara haiwan dan serangga yang kami lihat ialah ulat gonggok, lipan, pacat, kelawar, burung hantu dan banyak lagi.

Tetapi ia juga bergantung dengan masa dan keadaan cuaca bagi haiwan dan serangga ini untuk memunculkan diri. Saya juga terpegun mendengar bunyi-bunyian yang dikeluarkan oleh haiwan dan serangga seperti cengkerik dan burung-burung. Saya amat menikmati bunyi-bunyian tersebut dan ia amat menenangkan fikiran saya.

Setelah tamat fasa pertama, kami berada di fasa kedua, iaitu di fasa ini saya melihat terdapat banyak pokok-pokok yang mempunyai ukur lilit yang besar dan tidak pernah dilihat oleh saya sebelum ini. Kemudian, saya melihat abang fasilitator mengambil beberapa daun-daunan dan menunjukkan akar-akar yang terdapat di dalam hutan tersebut. Kemudian, beliau menceritakan serba sedikit tentang daun dan akar tersebut seperti namanya, kelebihan, kegunaan dan cara untuk menggunakannya sekiranya berlaku kecemasan.

Hutan dan Perubatan

Melalui fasa kedua ini, banyak yang saya pelajari dari abang fasilitator tersebut berkaitan flora yang terdapat dan boleh digunakan untuk bidang perubatan. Biasanya ia digunakan untuk perubatan tradisional. Daun-daunan dan akar ini kebanyakkan digunakan oleh mereka yang telah berumur kerana pada zaman dahulu untuk mendapatkan ubat-ubatan daripada hospital sangat sukar kerana jauh dan juga masalah kewangan. Jadi dengan itu mereka menggunakan bahan semula jadi yang telah dikurniakan oleh tuhan untuk dijadikan ubat.

Seterusnya, setelah banyak yang kami pelajari semasa berada di fasa kedua, Abang fasilitator membuat keputusan meneruskan perjalanan untuk pulang semula ke tapak perkhemahan kerana semua laluan telah dilalui mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sebelum berangkat pulang, Abang fasilitator mengarahkan ketua untuk mengira semua pelajar. Kami menghabiskan masa lebih kurang 50 minit untuk melakukan aktiviti Night Walk Jungle. Sepanjang perjalanan pulang kami dianugerahkan dengan bunyi-bunyian alam yang menenangkan hati dan fikiran sehingga kepenatan yang dirasai hilang. Antara bunyi-bunyian yang didengari ialah bunyi arus sungai, serangga, dan haiwan-haiwan. Itu adalah kali pertama saya mendengarnya secara langsung, selalunya ia hanya dapat didengari di dalam laman sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube.

 

Keselamatan di Hutan

Setelah berjalan lebih kurang 10 ke 15 minit, akhirnya kami semua sampai ke tapak perkhemahan. Abang fasilitator mengarahkan kami berkumpul semula mengikut kumpulan masing-masing dan menyuruh setiap ketua kumpulan untuk mengira sekali lagi bilangan ahli bagi mengelakkan terdapat pelajar yang mungkin hilang atau bertambah. Abang fasilitator mengatakan sekiranya terdapat pelajar yang hilang atau bertambah beliau menyuruh kami untuk. kembali ke dalam hutan untuk mencari pelajar hilang atau memulangkan semula makhluk yang bertambah.

Tambahan pula, setelah selesai mengira semua pelajar, kami semua berasa penat dan terus mencari tenpat untuk duduk pihak sekolah memberikan kami masa untuk berehat lebih kurang lima minit sebelum berkumpul semula untuk mengambil makanan bagi makanan terakhir iaitu sapa malam sebelum kami semua masuk ke bilik masing-masing untuk merehatkan diri, membersihkan diri dan tidur. Kami diberikan beberapa keping biskut dan secawan teh bagi mengalas perut kami. Setelah makan dan berasa kenyang pada jam 11.30 malam kami semua dibenarkan oleh cikgu untuk masuk ke dalam bilik masing-masing untuk merehatkan diri. Saya mengambil keputusan untuk merehatkan diri dan mengeringkan peluh dahulu sebelum membersihkan diri. Setelah membersihkan diri dan berasa segar, pada jam lebih kurang 12 pagi saya mengambil keputusan untuk tidur bagi merehatkan diri yang kepenatan ini.

 

Tips Semasa Night Jungle Walk

Berdasarkan pengalaman saya dalam melakukan aktiviti Night Walk Jungle. Saya ada beberapa tips untuk anda semua sebelum melakukan aktiviti ini. Pertama, pastikan anda semua memakai seluar panjang bagi mengelakkan tumbuhan tajam yang boleh melukakan kaki anda dan gigitan serangga-serangga yang merbahaya seperti lipan dan semut. Kedua, memakai stoking yang panjang ini bertujuan untuk mengelakkan daripada pacat untuk naik ke kaki. Selain itu, membawa bekalan air yang secukupnya untuk diri sendiri kerana aktiviti ini akan membuatkan anda semua mengeluarkan peluh yang banyak menyebabkan anda semua akan kehilangan air yang banyak dalam badan.

Bagi mengelakkan anda semua kekurangan air di dalam badan bawalah bekalan air anda sendiri. Seterusnya, tidak membawa beg yang terlalu berat kerana ia akan menyusahkan dan membebankan anda semua kerana Night Walk Jungle merupakan perjalanan yang agak jauh sekiranya anda semua membawa beg yang terlalu berat anda mungkin akan tercedera, cukuplah sekadar membawa beg kecil untuk meletakkan botol air. Pastikan anda semua membawa beg sandang dan bukannya beg jinjing kerana beg jinjing akan menyukarkan pergerakan dan menyebabkan tangan menjadi tidak selesa.

Tambahan pula, membawa lampu suluh untuk memudahkan menyuluh laluan, tapi ingat jangan disuluh secara tidak keruan takut nanti tersuluh benda lain. Ada juga beberapa tips yang saya dapat daripada fasilitator, iaitu yang pertama melumurkan minyak angin di kaki ini adalah untuk mengelakkan kaki daripada digigit oleh pacat, tips ini bersesuaian bagi mereka yang tahan akan kepanasan daripada minyak angina. Kedua, meletakkan tembakau di dalam stoking juga bagi megelakkan pacat untuk memasuki ke dalam stoking. Itu sahaja tips yang saya perolehi daripada pengalaman Night Walk Jungle.

Kesimpulan

Kesimpulan dan pengajaran yang saya dapat daripada aktiviti Night Walk Jungle ini ialah pertama, kita perlulah sentiasa mendengar arahan yang diberikan oleh ketua atau orang yang lebih berpengalaman daripada kita kerana sekiranya kita mengabaikan atau tidak menghiraukan nasihat daripada mereka mungkin akan terjadi perkara yang tidak diingini . Selain itu, kita perlulah sentiasa bekerjasama dan tidak mementingkan diri sendiri ketika melakukan sesuatu aktiviti kerana dalam apa jua keadaan kerjasama itu penting untuk merapatkan lagi hubungan sesama kumpulan .

Seterusnya, kita perlulah sentiasa menjaga adab ketika berada di dalam hutan kerana di dalam dunia ini bukan hanya kehidupan manusia tetapi terdapat juga hidupan lain,seperti haiwan dan makhluk lain(ghaib). Akhir sekali, kita perlulah sentiasa fokus ketika seseorang memberikan maklumat agar kita dapat ilmu yang ingin disampaikan kerana peluang untuk mendapatkan ilmu bukannya dating berkali-kali sekiranya mendapat peluang pastikan fokus dan belajar sebanyak yang boleh

Itu sahaja pengalaman saya dalam melakukan aktiviti Night Walk Jungle. Harapan saya ialah semoga saya dapat lagi membuat aktiviti Night Walk Jungle ini. Tambahan pula Harapan saya kepada  anda semua ialah semoga anda semua faham apa yang ingin disampaikan oleh saya dan  dapat serba sedikit pengetahuan dalam melakukan aktiviti Night Walk jungle serta bersemangat dan teruja untuk melakukan aktiviti ini sekiranya mempunyai peluang dan jangan sesekali melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti ini. Itu sahaja daripada saya.Terima kasih.

 

Muhammad Jazri Bin Muhammad Mazlan

B03SPL19F008

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *